Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir hidupku juga hidupmu.
Hati yang membentak ingin pulang minggu ini melakarkan satu peristiwa indah tak terperi. Entahlah samada ia cuma ujian atau nikmat Tuhan. Namun, niat untuk membantu dibalas pula dengan dibantu. Syukur Ya Tuhan dan terima kasih buat ibunda tercinta.
Maka kisahnya tentang jasa. Pada? Pada sekolah yang dah lama ditinggalkan. Hatta ia berbangunankan bebatu yang baharu, hatta gurunya tidak sama seperti dulu, namun nama itu. Nama itu yang aku pelihara dulu bilamana ia diejek dihina. Nama itu aku sebut dengan megahnya. SEKOLAH KEBANGSAAN PERMATANG PASIR! Tempat yang telah memberi jasa pada aku yang kala itu sifar. Sifar!
Muka yang terbakar apalah sangat. Suara yang serak tidak sama dengan JASA guru sebelum ini yang pernah marah, menangis dan mencubit sana sini suatu ketika dahulu. Sungguh, tega aku kembali ke sini kiranya itu suratan. Maka di padang yang baharu itu, aku redah kemucutnya dan jijak semalunya. Sedang anak-anak itu berlari sana sini mengejar bola biru. Satu petak segi empat yang kaku, dijaga seorang anak yang lain. Terkapai-kapai menahan bola biru yang datang. Senyum. Punya kenangan.
Sukan ini, sebati dengan aku. Entah mengapa? Mungkin kerana ia bebas. Peraturannya tidak sesusah mana dan yang penting kelihatannya lebih bebas! Bagai wau di dada biru. Bagai lelayang diterbangkan bayu kering sang jelapang. Cuma ada seutas tali yang mengikat. Ya! Cuma seutas!
Namun, ia kasar. Ia lasak bahkan kelihatan gagah. Tangan yang menggenggam, penuh harap agar bola itu maju ke dalam petak segi emapt yang mati. Mata mengecil perhatikan empat penjuru utama yakni target yang menjayakan. Hatta ada tubuh yang menghalang serta tangan yang menggapai, bola itu perlu laju meredah dan menembusi halangan.
YA! Ia perlu laju dengan kekuatan dan keyakinan!
Haha, kelihatan seperti punya perkaitan. Perkaitan? Heh, ya perkaitan. Sukan ini dengan hidup. Hatta bebas namun punya matlamat. Sudah masuk ke gelanggang ertinya BERJUANG! Pada aku yang mudah serabutkan minda, suka menaakul dan mencerna. Aku yang sudah melangkahkan kaki ke gelanggang perguruan maka inilah perjuanganku. Perjuangan yang akan ku jadikannya JIHAD HAKIKIku. SAHAM utamaku. Maka inilah dia. Ya! Aku tidak ragu akannya. Aku cukup jelas akannya! Allah, kuatkanlah hambaMu!!
25 Mac 2012
3.42 am
E233 KSAH