About Me

My photo
Seindah mawar, masihkah boleh disama ertikan dengan wanita kini? Indah wanita dipermainkan, masihkah ia indah jika sedemikian? Keindahan itu kini sirna berganti hina. Wanita bagai mawar. Durinya tajam ntuk memagar. Wanita juga hina seperti mawar. Duri yang bawah tidak mampu melawan serangan dari atas. Kelopak demi kelopak terlerai. Madunya dicalit, Kasmarannya diperkosa, dirakusi bagai sang hamba. Wanita, kita mawarNya yang hina. Diberikan kecantikn agar dijaga, bukan untuk dibangga. Mawar lagi indah bila dijumpai di tengah belantara, bukan di tengah hutan konkrit yang membinasa! Biarpun mawar itu tumbuh di rimba batuan, durinya harus tinggi, harus tajam dan menyengat. Usah engkau mendabik dada wahai mawar, kerna engkau..juga aku. Kita, hanyalah sekuntum mawarNya yang hina.

Friday 28 October 2011

16.12.2010

Pesona malam acapkali bersamaku dalam menimbang tara kesimpulan,
jawapannya sudah ku temu namun sukar untuk dilaksanakan,
parah bila perasaan mengatasi pegangan.
Tersungkur aku penuh kehambaan.

Namun tidak mahu tidak aku mengulangi kesilapan itu,
menjadi persis Hawa serta Zulaikha,
hingga terbuangnya Adam dari indahnya syurga,
hingga penjara menjadi tempat diamnya Yusuf,
siapa nisa' yg sanggup menjadi tali barutnya syaitan?
Bukan aku!

Perlu memulakan langkah.
Perlu memuliakan Dia.
Perlunya pengorbanan.
Perlunya penghijrahan.
Perlu adanya jihad,
kerana iman memerlukan itu semua.

''Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan begitu sahaja sedang
Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, rasul-Nya
dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Dia sekadar ujian kepada ku,
dan aku adalah ujian ke atasnya.

HAQ
8.40am
TS



Sunday 23 October 2011

Menyelusuri semak samun rancu bahasa


Ahad, 23 Oktober 2011
.

Pagi yang berkabus meraikan perjalanan kami ke Kediaman Menteri Besar, Dewan Seri Mentaloon bagi mengutip sedikit azimat dan pengalaman dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah. Rata-rata peserta adalah dari Kepulauan Borneo. Bijak Exco Borneo mencari ganti. Usai semuanya berkumpul di astaka baru, bas yang sudah menanti kira-kira 45 minit mula bergerak meredah rintik-rintik gerimis rahmat pada pagi ini.


Setibanya di tempat kejadian, dewan sudah penuh dengan para peserta yang rata-rata adalah golongan remaja. Mujur YAB Menteri Besar yang dihormati masih belum tiba. Selepas mengambil tempat, kami sama-sama menanti kehadiran tetamu VIP yang dirai. Sambil-sambil itu tangan membelek tentatif dan mula menghafal bait lagu Bahasa Jiwa Bangsa. Sempat juga anak mata menangkap kelibat seorang sifu yang cukup disegani, Tuan Haji Hassan Baseri bin Budiman, salah seorang ahli panel untuk slot Bual Bicara nanti. Berbunga.


Maka pengisian pun bermula. Banyak pantun yang tidak sempat disalin habis, banyak juga isu yang diutarakan. Ucapan daripada YAB Menteri Besar bagai menikam dalam kelembutan. Dikatakan di sini bagaimana mahu menaikkan semangat bahasa kebangsaan dalam jatidiri rakyat padahal pemimpin sendiri tidak menggunakan Bahasa Melayu apabila berbual bersama rakan. Itulah isu yang diwujudkan. Pendapat saya, para pemimpin (termasuklah diri sendiri) perlu sedar bahawa bicara kita, gerak tingkah laku kita sentiasa diperhatikan juga dicatatkan. Wallahua'alam. 

Terdapat juga selingan persembahan iaitu persembahan Syair, Nyanyian, Bacaan Sajak juga Lagu Puisi. Tersengguk penuh asyik mendengar persembahan yang memakan masa lebih kurang 30 - 45 minit ini. Bahasanya, aduh...sangat dalam. Bacaan sajak nukilan A. Samad Said berjaya menarik perhatianku kerana bait maknanya tidak berjaya dicerap oleh minda dan akal. Masih lemah diri ini. 


Antara pantun yang digunakan semasa majlis dan telah diberi sedikit pengubahsuaian :

Bukan kacang sebarang kacang,
Kacang melela di pagar kayu;
Bukan datang sebarang datang,
Datang berjumpa para tetamu.

Maka, usai sahaja perasmian majlis merangkak ke slot yang seterusnya iaitu Bual Bicara : "Celaru dan Rancu Bahasa : Di Mana Silapnya?". Berikut adalah insan-insan hebat yang terlibat dalam slot ini :

Tuan Haji Shaidun bin Shaari (ASASI) = Moderator
YBhg. Dato' Hj. Abdul Halim bin Hj. Salleh (Budayawan Kedah & Tokoh Sastera Warisan) = Ahli panel 1.
Tuan Hj. Hassan Baseri Budiman ( ASASI ) = Ahli panel ke2.
Prof. Madya Dr. Nuraini binti Yusoff (UUM) = Ahli panel ke3.

Tuntasnya, Ahli Panel 1 lebih banyak mengajar kami, sidang pendengar mengenai sistem ejaan, keselarasan vokal dan kekecualian dalam keselarasan vokal. Gayanya memang guru sejati kerana terasa seolah-olah Dewan Seri Mentaloon menjadi satu dewan kuliah yang besar. Namun, ilmu-ilmu yang dihadam pada semester-semester yang lalu dapat juga dimuntahkan kembali dengan perkongsian ilmu daripada ahli panel 1. Mungkin dapat juga adik-adik dari sekolah menengah yang hadir meraih ilmu baru namun kelihatannya golongan pejuang bahasa yang ada bersama kami menggangguk kepala tanda sudah tahu. Menggeleng kepala tanda tidak setuju  dengan jawapan yang diberi. Kenapa? Bila difikir, ada bahananya berkongsi mengenai sistem ejaan dan ilmu-ilmu tatabahasa yang acapkali bertukar arah angin. Saban tahun ada saja penambahbaikan, al-maklumlah Bahasa Melayu yang bersifat universal. Selaku guru pelatih yang masih mentah, saya cuma mendengar dan mencatit apa yang dirasakan ilmu baru buat memenuhi atmosfera dalam dada.

Punca rancu bahasa terjadi kerana beberapa asbab antaranya penggunaan media massa sama ada bercetak mahu pun secara elektronik. Misalnya bahasa-bahasa chatting, sms, komik dan hiburan di kaca tv. Ada  kata-kata ahli panel yang pintar berprovokasi ini menyentuh soal perguruan bilamana beliau menyatakan punca-punca dalam kecelaruan bahasa iaitu, GURU. GURU mengajar tatabahasa yang tidak betul. GURU tidak mendalami ilmu. GURUlah salah satu punca kecelaruan bahasa berlaku. Saya, mula menyatakan kepentingan Guru Bahasa Melayu dengan menepuk-nepuk riba adik-adik di barisan belakang dengan hasrat, bicara mereka dapat diperlahankan. Namun dalam hati, seakan gegar dan pasrah dengan amanah yang sudah tersandang di bahu. Mujur masih fokus mendengar bual bicara ini. Ahli panel kedua iaitu Tuan Haji Hassan Baseri bin Budiman tampil dengan isu yang lain dan menyangkal apa yang dikatakan oleh ahli panel pertama.

Kata ahli panel kedua, guru bukanlah punca utama.Beliau banyak menyentuh tentang rancu dan celaru bahasa di sekolah, apa puncanya. Puncanya :
- Sistem yang ada tidak dilaksanakan secara telus
- Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Apa solusi kerajaan dalam MBM?
- Ketepatan Bahasa Melayu disandarkan kepada guru Bahaha Melayu semata.
(Suka untuk saya berkongsi, selain daripada menjadi kilang lahirnya penyajak yang hebat beliau juga pernah mendapat anugerah Guru Cemerlang. Suka juga saya mendengar pengucapannya. Sarat dan padat.)

Antara huraian yang sempat dicatat adalah mengenai tiadanya kelestarian dalam perlaksanaan Pembakuan Bahasa Melayu yang pernah gah dilaksanakan pada sekitar tahun 80an dahulu. Pendapat saya, setelah bertukar tapuk kepimpinan di Malaysia maka bersalin jugalah harapan negara yang mana setiap pemimpin punya perjuangan mereka sendiri. Seolah-olah bahasa diperjudikan dengan hal lain yang lebih diutamakan demi pencapaian. Mengenai isu MBM, MBI menurut beliau lagi, bilangan pengambilan guru Bahasa Inggeris di Isntitut Pendidikan Guru adalah lebih tinggi berbanding pengambilan guru Bahasa Melayu. Di sekolah pula, purata waktu mengajar subjek Bahasa Melayu lebih sedikit berbanding subjek yang lain. Apakah MBM sekadar satu susunan aksara tanpa makna? Tepuk dada, bertelagahlah dengan akal warasmu.

Akhir sekali mengenai dasar Bahasa Melayu merentas kurikulum yang tidak berlaku dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Nah, di sini puncanya memang salah guru. Guru berbangsa Melayu yang mengajar subjek di luar dari subjek ini perlu cakna dan sedar akan ketepatan Bahasa Melayu turut berada di pundak mereka. Misalnya, apabila murid-murid menggunakan tatabahasa atau ejaan yang salah semasa menjawab soalan bagi subjek Sains, Guru Sains tersebut bertanggungjawab untuk membetulkannya. Bukan hanya memberi markah bilamana penulisan murid dapat difahami. Tentang Bahasa Melayu merentasi kurikulum, guru subjek lain boleh menerapkan elemen2 puisi dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran mereka. Misalnya menggunakan puisi sebagai wahana untuk murid-murid membuat sesi apresiasi terhadap karya mereka dalam matapelajaran Pendidikan Seni Visual, juga bacaan sajak dalam set induksi subjek Sains mengenai kecintaan terhadap flora dan fauna. Wahai diri dan para bakal guru di luar sana, nak tak nak aja. Bila nak, jangan main-main lagi!
Beralih pula kepada ahli panel terakhir, satu-satunya mawar berduri nan berbisa bila berbicara. Sedap mendengar bait bicara beliau, jelas dan vokalnya mantap. Banyak juga perkongsian contoh diberi tapi tidak sempat disalin, asyik mendengar dan melihat beliau berhujah. Hujah Prof ini dimulai dengan serangkap pantun khas untuk anak-anak remaja yang hadir ;

Sudah sepekan rusa diburu,
Bersilih ganti panah suasa;
Jangan biarkan bahasa bercelaru,
Hilang identiti musnah bangsa.

Melihat rima pantunnya pun sudah cukup mengagumkan saya. Kebanyakkan perkataan dalam serangkap pantun itu rimanya hampir sama melainkan Sudah dengan Jangan serta Bersilih dan Hilang. Allahuakbar! Indahnya bahasa tersusun disusun mengikut rima. Baik, terus kepada intipati hujah prof. Huraiannya yang panjang lebar saya singkatkan menjadi ;
Pesanannya kepada warga anak didik:
- Bahasa Melayu sudah ada sistem jadi patuhilah. Kamus Tatabahasa rujukan utama.
- Beliau mengukuhkan lagi hujahnya dengan memetik kata Prof. Emeratus Dr. Hjh. Hasmah, "Pendidikan sudah mantap dan rujukan sudah ada".
- Buatlah satu formula tatabahasa.
- Seronoklah dalam belajar dan bersungguh-sungguhlah.
- Bahasa Melayu sebagai medium memahami sesuatu matapelajaran dan dikukuhkan lagi kenyataan ini dengan fakta serta kajian yang berbunyi, "Untuk memahami sebarang ilmu,  MESTI menggunakan dan melalui bahasa ibunda".

Pesanannya kepada warga pendidik pula :
- Guru tidak boleh mudah berpuas hati dengan ilmu yang ada. Pemerolehan ilmu sepanjang hayat HARUS ada.
- Sambunglah belajar.
- Buat transformasi yang bersesuaian.

Begitulah bual bicara yang mengumpulkan tokoh-tokoh sastera juga prof. madya yang saya kira, banyak berkongsi pengalaman mereka dalam sesi yang cuma seketika. Daripada penulisan di atas, itulah rungkaian pendapat saya juga pandangan. Mana yang lemah datang dari kedaifan saya sendiri. Sebagaimana pantun yang disampaikan oleh moderator dan ditambahnilai sedikit dengan yang empunya, mari sama-sama kita hayati ;

Ikat songkok berbelang-belang,
Duduk di ceruk pangkin si Rani; 
Mana yang elok di bawa pulang,
Apa yang buruk tinggalkan di sini.

Berikut antara gambar dua daripada tiga ahli panel yang berjaya diambil tanpa izin di dada pencarian Google :



Gambar pertama adalah gambar ahli panel pertama dan gambar di atas ini adalah gambar ahli panel kedua (di tengah)
.
Berikut adalah gambar semasa bual bicara sedang berlangsung.


Dari kiri : Tuan Haji Hassan Baseri Budiman, Tuan Hj. Abd. Halim, Tuan Hj. Shaidun dan Prof. Madya Dr. Nuraini.

::::::::Selepas jenuh melawan rasa mengantuk yang bersarang di kelopak mata akhirnya:::::::::::
MAKAN!!!



Alhamdulillah. Sudah kenyang bah.. Apa lagi selepas ini???


Kita possing la!!


Antara gambar-gambar lain yang sempat dirakamkan dalam bentuk gambar pegun ;




~>>>Gambar para peserta Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah 2011<<<~

Selepas itu, aku dan Tuan Haji Ibrahim menapak meninggalkan yang lainnya. Slot kami berdua belum usai dan bernokhtah. Denai bahasa terus diredah. Bersama-sama Tuan Haji Hassan Baseri Budiman, isteri dan anak saudaranya kami kembara menggunakan Toyota Viosnya, menuju ke gedung ilmu yang kedua. 

Nokhtah.